Sunday, January 13, 2019

Sekalung Penghargaan Buat Ibu Bapa

Assalamualaikum..

En. Ismail bin Pannyau,
Pengerusi BAKA sesi 2018/2019
Alhamdulillah, bersyukur kita kpd Allah SWT kerana di berikan peluang & kesempatan utk bersama sama berada di bawah satu bumbung TASKI/Tahfiz ABIM Al-Hidayah Miri.

Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan tahniah & selamat datang kepada ibu bapa yang baru mendaftarkan anak ke TASKI/Tahfiz. Terima kasih kerana sudi memberi kepercayaan kepada pihak TASKI/Tahfiz sebagai pusat pendidikan awal anak anda. Bagi ibu bapa yang dah bebeberapa tahun bersama TASKI/Tahfiz, terima kasih yang tidak terhingga kerana masih setia & masih memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak TASKI/Tahfiz untuk mendidik anak-anak anda. 

Bersempena dengan awal musim persekolahan ini, saya selaku Pengerusi Badan Keluarga ABIM (BAKA) sesi 2018/2019 ingin mengucapkan selamat datang kepada semua ibu bapa. BAKA merupakan badan persatuan ibu bapa guru (PIBG) bagi TASKI/Tahfiz ABIM.

Bapa-bapa membantu memasang
banner TAHFIZ ABIM
Diharap kita semua dapat bekerjasama membantu guru-guru demi menjadikan TASKI/Tahfiz kita selesa sebagai pusat pendidikan terbaik anak-anak kita. Kami amat mengalu-alukan sumbangan buah fikiran & maklum balas dari pihak tuan & puan, agar kita sama-sama dapat memperbaiki segala kekurangan & kelemahan. Oleh sebab itu andai ada komen atau cadangan, boleh berhubung terus dengan kami.

Sukacita Tuan/Puan boleh melayari laman sawang rasmi TASKI/Tahfiz ABIM al-Hidayah Miri di:




Kenang-kenangan Majlis Hi-Tea BAKA sesi 2018/2019
 Sekian salam ukhwah dari saya mewakili AJK-AJK BAKA 2018/2019.

Ikhlas daripada,

Ismail b. Pannyau
Pengerusi BAKA (013-8421547)


#tamanasuhankanak2islam
#taskiabimalhidayahmiri
#tahfizabimalhidayahmiri
#kearahpendidikananaksoleh

_________
Anda juga boleh menghubungi:

Timb. Pengerusi BAKA:
En. Azrul b. Jaini (016-8624746)

Bendahari:
Pn. Azimah (010-507 3787)

Emel TASKI/Tahfiz ABIM:
lamantaskiabimalhidayahmiri@gmail.com

Monday, January 7, 2019

Khabar Duka Buat Kita...

انا لله وإنا إليه راجعون

Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un
(Kami hamba Allah dan kepada-Nya kami akan kembali…)

Dukacita dimaklumkan bahawa Mudir kepada TAHFIZ-ABIM al Hidayah Miri, iaitu Ustaz Nafery bin Mahli telah kembali ke rahmatullah pada 7.30 pagi hari Isnin, 7 Januari 2019 di Hospital Umum Miri. Daripada Allah kita datang, dan kepada-Nya jua kita kembali.

Semoga Allah mengampuni beliau dan menempatkan roh beliau di kalangan orang-orang yang soleh. Semoga juga urusan jenazah berjalan lancar dan semoga Allah meringankan beban buat keluarga beliau atas berita duka ini. Amiin.

Daripada Sayyidina Muhammad bin ‘Amr bin Hazm hmeriwayatkan bahawa Nabi Muhammad gbersabda:

“Sesiapa sahaja daripada orang-orang mukmin yang mengucapkan takziah untuk menghiburkan hati saudaranya yang mukmin yang ditimpa musibah pasti akan dipakaikan oleh Allah c dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat.” (Hadith Riwayat Muslim)[1]

Bersama kita doakan, dan kirimkan sedekah surah al-Fatihah buat beliau. Al-Fatihah…




___________
[1] Maulana Syaikh Maulana Muhammad Yusuf Kandahlawi, (2013). Muntakhab Ahadis hadis-hadis pilihan p. 391. Maktabah Ilmiah Sdn. Bhd.: Selangor 





Sunday, January 6, 2019

Kemasukan TASKI-ABIM 2019 Masih Dibuka


Assalamualaikum...

Sukacita dimaklumkan bahawa TASKI-ABIM al Hidayah Miri masih membuka pendaftaran bagi tahun 2019. Ini tertakluk kepada kekosongan murid yang berbaki. Berikut adalah kelas tersebut:



Tahap 1
Berumur 4 tahun pada 2019 (1 kekosongan)

Tahap 2 
Berumur 5 tahun pada 2019 (2 kekosongan)

Tahap 3
Berumur 6 tahun pada 2019 (masih dibuka sehingga diberitahu)
Ibu bapa / penjanga boleh menghubungi kami dengan menghubungi:


Pejabat: 085 - 658 879

Pengerusi BAKA (PIBG) 
En. Ismail Pannyau: 013-842 1547

emel: lamantaskiabimalhidayahmiri@gmail.com

Atau mengunjungi pejabat TASKI-ABIM al Hidayah di:

Lot 2387, Jln Galing, Piasaujaya,
Fasa 2, 98000 Miri,
Sarawak.  


Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

"Ke Arah Pendidikan Anak Soleh"

Kemasukan Tahfiz-ABIM 2019 Masih Dibuka


Ingin anak pandai mengaji?
 
Ingin mereka menghafal surah-surah al-Quran?

Ingin anak dilengkapi ilmu & amal fardhu ain?

Mari bersama kami membentuk generasi al-Quran. Tahfiz-ABIM Al Hidayah Miri mengajak warga Miri bersama-sama kami dalam membentuk generasi al-Quran. Dalam zaman moden yang semakin jauh daripada agama, menjadi peri mustahak membentuk sifat dan jiwa anak-anak sesuai dengan al-Quran dan Sunnah. 

Tahfiz-ABIM menyediakan pakej pendidikan al-Quran dan fardhu ain buat anak-anak. Kelas Tahfiz-ABIM diadakan pada sebelah petang iaitu pada 2.00 sehingga 5.00 petang, Isnin sehingga Jumaat. 

Pendaftaran untuk 2019 masih kekal dibuka. Anda dialu-alukan untuk mengunjungi Tahfiz-ABIM yang terletak di Jalan Galing, Piasaujaya Miri.  

Ayuh, daftar anak anda ke Tahfiz-ABIM al Hidayah Miri!


“Membentuk Generasi al-Quran”


NOTA: Anda boleh mendapatkan butiran lanjut di bahagian Tahfiz-ABIM (petang) dalam laman web ini.  

Minggu Pertama TAHFIZ-ABIM

Minggu pertama kelas TAHFIZ-ABIM al Hidayah Miri
Alhamdulillah, seiring dengan persekolahan anak-anak TASKI-ABIM pada sebelah pagi, TAHFIZ-ABIM al Hidayah Miri juga telah berlangsung sejak hari pertama.

Pada tahun 2019, sejumlah 28 peserta TAHFIZ yang telah didaftarkan meliputi tahap PRA-A (berumur 5 - 6 tahun), PRA-B (berumur 7-8 tahun), Tahap 1 (berumur 9 - 10 tahun) dan Tahap 2 (berumur 11 - 12 tahun). Kelas TAHFIZ-ABIM bermula dari 2.00 petang sehingga 5.00 petang. Butiran lanjut boleh didapati di hagian TAHFIZ-ABIM (petang) dalam laman web ini. 

Dalam kelas TAHFIZ-ABIM, para peserta diajarkan akan ilmu fardhu ain dan mengaji al-Quran. Hafazan al-Quran diutamakan. Testimoni daripada para ibu bapa adalah, penglibatan anak-anak mereka dalam TAHFIZ-ABIM banyak membantu menambah nilai agama dalam diri anak-anak.

Aktiviti-aktiviti TAHFIZ-ABIM al Hidayah Miri
Pihak TAHFIZ-ABIM al Hidayah Miri mengalu-alukan para ibu bapa atau penjaga yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka menyertai program pendidikan TAHFIZ-ABIM ini. Pendaftaran terbuka pada sepanjang tahun. Anda boleh menziarahi pejabat TAHFIZ-ABIM atau menghubungi seperti yang tertera di bawah:


"Membentuk Generasi al-Quran"

Thursday, January 3, 2019

BAKA Hari Pertama 2019 TASKI-ABIM

Dalam suasana kemeriahan hari pertama persekolahan anak-anak di TASKI-ABIM al Hidayah Miri, ahli jawatankuasa persatuan ibu bapa guru (PIBG) TASKI-ABIM iaitu Badan Keluarga ABIM (BAKA) turut hadir bersama di TASKI pada pagi tersebut.

Diketuai oleh En. Ismail Pannyau sebagai Pengerusi BAKA, ahli jawatankuasa BAKA (berpakaian merah sukaneka) membantu pihak TASKI mengalu-alukan kehadiran ibu bapa dan murid yang datang pada hari pertama. Pada hari tersebut memberikan ruang ajk BAKA untuk berkenal-kenalan dan beramah mesra bersama ibu bapa dan penjaga.

Santai... AJK BAKA bersama pihak pengurusan
TASKI-ABIM. En. Ismail Pannyau adalah yang berkopiah hitam
Pihak BAKA berasa syukur kerana pada tahun ini 2019, berlaku peningkatan dalam jumlah pengambilan murid berbanding tahun lepas. Bagi Tahap 1 (berumur 4 tahun) dan Tahap 2 (berumur 5 tahun), murid yang didaftarkan hampir memenuhi kuota maksima bagi setiap kelas.

Diharapkan semoga pada tahun ini BAKA bersama ibu bapa dapat berganding bahu dengan lebih erat dan padu. Semoga dengan muafakat dan perpaduan kita, menjadi asbab kepada keberkatan daripada Allah dalam kita mendidik anak-anak menjadi generasi Muslim yang berwibawa. Amiin.

“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh”




Gelagat Membuatkan Anda Tersenyum

Gelagat anak-anak adakala agak ‘menjengkelkan’ ketika sesuatu sedang berlaku yang mereka tidak setuju. Tetapi gelagat inilah yang membuat kita tersenyum dan tertawa apabila mengenangkan bersama pada masa akan datang. Begitulah indahnya anak Allah ciptakan mereka untuk kita bermanja dengan mereka. Kita juga mungkin begitu suatu masa dahulu!


Terutama buat anak-anak Tahap 1 (berumur 4 tahun) yang baru menjejakkan kaki di sekolah, inilah masa mereka menyesuaikan diri menghadapi situasi yang asing buat mereka. Ada yang menangis berpanjangan, ada yang protes, ada juga yang bersahaja apabila diberikan mainan untuk mengalih perhatian mereka.


Ada juga gelagat anak-anak Tahap 2 (berumur 5 tahun) yang mengatakan kepada ibu bapa mereka, bahawa mereka berada di kelas yang salah. Kerana mereka tidak ditempatkan bersama guru pertama mereka pada tahun lepas. Mereka masih tercari-cari guru lama dan menunjukkan tanda tidak setuju.

Manakala murid Tahap 3 (berumur 6 tahun) pula, mereka sudah agak matang berbanding adik-adik kelas lain. Mereka mungkin berpengalaman berada di taska/taski lain sebelum ini. Segala norma persekolahan sudah biasa dan siap sedia untuk belajar.

Ibu bapa, marilah memberikan kerjasama yang padu bersama guru-guru dan pihak TASKI-ABIM al Hidayah Miri. Setelah berakhir hari persekolahan, ambil berat dengan bertanya kepada mereka akan suasana, kawan-kawan, aktiviti dan hasil dapatan mereka. Mungkin seharian suntuk kita membanting tulang mencari rezeki, sekurang-kurangnya itulah detik emas untuk kita berinteraksi dengan anak-anak kita.

“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh”  

Wednesday, January 2, 2019

Tahniah & Selamat Datang!

Assalamualaikum!


Alhamdulillah syukur yang tidak terhingga kepada Allah, Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w dan keluarganya. Moga Allah melimpahi Rahmat-Nya buat para Sahabatnya, dan orang yang mengikuti jejaknya sehingga Hari Kiamat.
Ibu bapa mengiringi anak
di kelas Tahap 1 Taqwa

Syukur kerana kita masih lagi dikurniakan kehidupan dalam keimanan untuk berada pada tahun baru 2019. Menjengah kepada tahun baru, mungkin tahun ini mencatat sejarah buat anda dan keluarga. Anak-anak yang dahulunya merah tapak kaki dilahirkan oleh ibunda, kini sudah tiba masa melangkah ke alam persekolahan. Betapa pantasnya masa berlalu, seakan-akan ia baharu sahaja lahir semalam.

Tarikh 2 Januari 2019 mungkin merupakan detik bersejarah buat anak-anak anda. Mereka berpimpinan tangan dengan anda, bagai dirasa tangan kecil halus itulah dahulu tangan kita memegang tangan orang tua kita. Kini giliran kita pula sebagai ibu bapa.

Begitu meriah suasana di TASKI-ABIM al-Hidayah Miri pada minggu pertama 2 Januari 2019. Para ibu bapa bersama anak-anak yang bersemangat mengorak langkah ke sekolah. Murid TASKI-ABIM terdiri daripada Tahap 1 (umur 4 tahun), Tahap 2 (umur 5 tahun) dan Tahap 3 (6 tahun).


Tahniah... seramai 14 murid daripada TASKI-ABIM
sesi 2018 telah terpilih memasuki di SK Agama (MIS) Miri
Tahniah juga diucapkan buat bekas murid TASKI-ABIM al-Hidayah Miri sesi 2018 yang telah melanjutkan persekolahan mereka di sekolah rendah. Pastinya mereka juga teruja berada di sekolah yang baru. Walau di mana jua anda bersekolah, moga segala ilmu yang dipelajari di TASKI-ABIM dapat dimanfaatkan. 

Pihak TASKI-ABIM al-Hidayah Miri ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana memberi kepercayaan menjadikan kami sebagai pilihan untuk kecemerlangan pendidikan awal anak-anak. Tahniah buat anak-anak kerana sudah selangkah berdikari menimba ilmu. Semoga pengalaman anda dan anak-anak bersama TASKI-ABIM al-Hidayah Miri menjadi dalam membentuk generasi Muslim yang berkualiti. Amiin.   

“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh”