Thursday, January 3, 2019

Gelagat Membuatkan Anda Tersenyum

Gelagat anak-anak adakala agak ‘menjengkelkan’ ketika sesuatu sedang berlaku yang mereka tidak setuju. Tetapi gelagat inilah yang membuat kita tersenyum dan tertawa apabila mengenangkan bersama pada masa akan datang. Begitulah indahnya anak Allah ciptakan mereka untuk kita bermanja dengan mereka. Kita juga mungkin begitu suatu masa dahulu!


Terutama buat anak-anak Tahap 1 (berumur 4 tahun) yang baru menjejakkan kaki di sekolah, inilah masa mereka menyesuaikan diri menghadapi situasi yang asing buat mereka. Ada yang menangis berpanjangan, ada yang protes, ada juga yang bersahaja apabila diberikan mainan untuk mengalih perhatian mereka.


Ada juga gelagat anak-anak Tahap 2 (berumur 5 tahun) yang mengatakan kepada ibu bapa mereka, bahawa mereka berada di kelas yang salah. Kerana mereka tidak ditempatkan bersama guru pertama mereka pada tahun lepas. Mereka masih tercari-cari guru lama dan menunjukkan tanda tidak setuju.

Manakala murid Tahap 3 (berumur 6 tahun) pula, mereka sudah agak matang berbanding adik-adik kelas lain. Mereka mungkin berpengalaman berada di taska/taski lain sebelum ini. Segala norma persekolahan sudah biasa dan siap sedia untuk belajar.

Ibu bapa, marilah memberikan kerjasama yang padu bersama guru-guru dan pihak TASKI-ABIM al Hidayah Miri. Setelah berakhir hari persekolahan, ambil berat dengan bertanya kepada mereka akan suasana, kawan-kawan, aktiviti dan hasil dapatan mereka. Mungkin seharian suntuk kita membanting tulang mencari rezeki, sekurang-kurangnya itulah detik emas untuk kita berinteraksi dengan anak-anak kita.

“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh”  

No comments:

Post a Comment