Thursday, May 16, 2019

Pelawaan Menambah Pahala


Bersempena dengan bulan Ramadhan al-Mubarak ini, Badan Keluarga ABIM (BAKA) yang merupakan PIBG TASKI/Tahfiz-ABIM al Hidayah Miri mengajak ahli masyarakat untuk turut menyumbang dalam membantu melengkapkan surau di sekolah kami yang baru sahaja siap pada awal Ramadhan ini.

Surau tersebut merupakan sebahagian daripda Fasa 2 pembinaan Pusat Pengajian al Quran yang diusahakan oleh Yayasan al Hidayah Miri. Alhamdulillah, surau tersebut telah digunakan dengan rasminya pada Majlis Sungkei & Tarawih TASKI/Tahfiz-ABIM Miri pada Sabtu, 6-7 Ramadhan 1440H / 11 Mei 2019 yang lepas.

Sehubungan dengan itu, BAKA mengalu-alukan sumbangan daripada pihak umum sama ada dalam bentuk sumbangan wang ringgit atau barangan. Berikut merupakan antara yang tersenarai yang diperlukan daripada anda:

1. Rak buku

2.  Almari / ampaian / rak telekung

3. Telekung (derma ditutup, sumbangan sudah penuh)

3. Al-Quran / buku-buku agama

5. Rehal jenis meja

6. Papan putih berkaki mudah alih (saiz kecil)


 Perancangan tambahan:

1. Memasang pendinging hawa (aircond) sebanyak 4 unit.

2. Memasang langsir


Jika anda ingin menyumbang atau mendapatkan pertanyaan, boleh menghubungi:

Pejabat TASKI/Tahfiz-ABIM : 085-658 879

Atau

En. Azrul bin Jaini (Pengerusi BAKA) : 016 - 862 4746
En. Ismail bin Pannyau (Timbalan Pengerusi BAKA) : 013-842 1547


Anda boleh menziarahi surau ini di lokasi tersebut:



TASKI / Tahfiz ABIM al Hidayah Miri

Lot 2387, Jln Galing, Piasaujaya,
Fasa 2, 98000 Miri,
Sarawak.



Sesungguhnya segala yang anda sumbangkan, hanya Allah sahaja selayaknya yang membalasi ganjarannya. Terutama pada bulan yang mulia ini, ganjarannya berlipat kali ganda, insyaAllah. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan anda.

Sekian, Terima kasih.


Azrul bin Jaini
Pengerusi
Badan Keluarga ABIM (BAKA) 
Sesi 2019-2020

Saturday, May 11, 2019

Majlis Berbuka Puasa & Tarawih TASKI/Tahfiz-ABIM Miri 1440H

Alhamdulillah syukur kepada Allah. Ramadhan 1440H telah selesai pada hari keenam dan kini menjengah kepada hari ketujuh. Dalam semangat Ramadhan kali ini, Badan Keluarga ABIM (BAKA) telah bersama dengan pihak sekolah menjayakan Majlis Sungkei & Tarawih TASKI/Tahfiz-ABIM Miri pada Sabtu, 6-7 Ramadhan 1440H / 11 Mei 2019.


Berbeza daripada tahun-tahun yang lepas, majlis kali ini amat bermakna kerana surau TASKI/Tahfiz-ABIM Miri yang dinanti-nanti telah pun siap dibina cukup untuk mengadakan program. Surau ini merupakan sebahagian daripada Fasa 2 pembangunan Pusat Pengajian al-Quran oleh Yayasan al Hidayah.



Turut hadir dalam program ini adalah pimpinan Yayasan al-Hidayah Miri yang menaungi TASKI/Tahfiz-ABIM al Hidayah Miri yang dipimpin oleh Tn. Hj. Ahmad Kendong bin Abdul Khan. Bersama dalam program ini juga hadir bekas-bekas guru yang pernah berkhidmat di sini dan juga ibu bapa dan anak-anak didik TASKI/Tahfiz-ABIM. Kehadiran dianggarkan mencecah 100 orang.

Ustaz Azizul Hafidz bin Abdul Hardy telah dijemput untuk menyampaikan Kultum atau gelaran penuhnya Kuliah Tujuh Minit. Beliau telah berkongsi tentang sejumlah fadhilat atau keutamaan-keutamaan khusus yang Allah berikan kepada umat Islam pada bulan Ramadhan yang sering dikongsikan. Beliau melontarkan persoalan kepada hadirin bagaimanakah kesungguhan kita dalam meraih ganjaran dan janji daripada Allah? Beliau mengajak agar kita berusaha beribadat semakin baik daripada hari-hari sebelumnya. Selanjutnya majlis diteruskan dengan beliau menjadi imam jemaah hadirin.

Program diakhiri dengan moreh atau makan-makan selepas Tarawih. Program diakhiri dengan moreh atau makan-makan selepas Tarawih. Pihak BAKA ingin merakamkan ucapan terima kasih buat individu yang terlibat dan menyumbang dalam menjayakan program ini.

Semoga program ini dipandang oleh Allah dengan redha-Nya. Moga Ramadhan ini adalah yang terbaik buat kita… amiin.

"Ke Arah Pendidikan Anak Soleh"

"Membina Generasi al-Quran"

Friday, May 3, 2019

Persiapan Sukaneka TASKI/Tahfiz ABIM 2019


Bersempena dengan temasya Sukaneka TASKI/Tahfiz-ABIM 2019 yang akan berlangsung pada 5 Mei 2019 Ahad nanti, Badan Keluarga ABIM (BAKA) ingin mengajak ibu bapa/penjaga bersama pihak sekolah bagi menjayakan persiapan sukaneka di padang.

Persiapan tersebut akan diadakan pada:

Tarikh: 4 Mei 2019, Sabtu

Tempat: Padang SK Anchi Miri

Masa: Bermula 7.00 pagi

Mari ikutserta. Mari bersilaturahim. Mari kita jayakan demi kegembiraan anak-anak kita.




“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh”

”Membentuk Generasi al-Quran”


_____
Gambar merupakan kenangan pada tahun 2018

Menjelang Sukaneka TASKI/Tahfiz ABIM ke-31


Kemeriahan Sukaneka TASKI/Tahfiz ABIM ke-31 semakin terasa. Temasya itu akan berlangsung pada 5 Mei 2019, Ahad nanti di padang SK Anchi Miri. Ini adalah acara tahunan yang menyatukan anak-anak, ibu bapa, guru dan masyarakat di lapangan kesihatan jasmani. Pihak penganjur memohon maaf program ini terpaksa ditunda seminggu lewat oleh sebab yang tidak dapat dielakkan.

Anak-anak telah berlatih beberapa bulan berentap dengan acara masing-masing. Sebanyak 12 acara akan dipertandingkan dengan kategori yang menarik dan misteri. Setiap tahap akan memakai baju warnanya yang tersendiri, menjadikan Sukaneka TASKI/Tahfiz ABIM berwarna-warni setiap tahun.

Anak-anak juga telah berlatih berkawad untuk perbarisan. Ya, banyak latihan telah diadakan. Tak tahulah macam mana nanti di padang. Pasti dinanti-nanti. Pasti mencuit hati.


Mengimbau kembali kenangan Sukaneka 2018:



 Aturcara Sukaneka 2019 adalah seperti yang berikut:

7.15 pagi : Ketibaan ibu bapa / penjaga & murid TASKI & Tahfiz-ABIM

7.45 pagi :Ketibaan para tetamu dan jemputan khas

8.00 pagi : Acara perbarisan lintas lalu murid-murid TASKI/Tahfiz-ABIM

                 : Bacaan doa selamat

                 : Ucapan Pengurus Sukaneka ke-31

                 : Ucapan Perasmian Jemputan Khas

                 : Nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku

                 : Pelajar rehat (makan & minum)

                 : Acara bermula…

Setelah anak-anak berentap di padang, nanti ada acara terbuka buat ibu bapa/penjaga menanti anda!

Beberapa peringatan buat ibu bapa:

1. Setibanya anda di padang SK Anchi, bawa anak-anak langsung ke khemah murid.

2. Urusetia hendaklah menggunakan baju Sukaneka 2019. Jika ada ibu bapa yang sukarela untuk membantu, anda akan memakai baju vest hijau yang boleh didapati di meja juruacara.

3. Terdapat jualan amal di belakang astaka (pentas) padang. Jualan hanya akan dibuka setelah ucapan perasmian oleh jemputan khas.

4. Hadirin boleh mendapatkan kupon jualan amal dengan harga RM10.00 di pondok jualan.

5. Hadirin tidak dibenarkan untuk merokok di kawasan sekolah.


Marilah kita doakan agar perjalanan Sukaneka TASKI/Tahfiz-ABIM al Hidayah Miri 2019 bakal berjalan dengan lancar! Moga menjadi medan penyatuan silaturahim antara ibu bapa, anak-anak, guru, dan juga masyarakat. Moga cuacanya baik. Moga kesihatan kita dan anak-anak juga yang terbaik. Jumpa hari temasya kelak!


“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh”

”Membentuk Generasi al-Quran”