Sunday, February 24, 2019

Terima Kasih Pasangan Budiman


Alhamdulillah syukur kepada Allah S.W.T, pihak TASKI-ABIM al Hidayah Miri telah menerima sumbangan enam buah papan putih bermagnet di enam buah kelas sekolah ini. Keenam-enam papan putih tersebut telah dipasang oleh pihak pembekal pada Sabtu, 23 Februari 2019 yang lepas. Penyumbang merupakan sepasang suami isteri dari Bintulu.

Sumbangan tersebut diusahakan melalui persatuan ibu bapa guru, iaitu Badan Keluarga TASKI-ABIM al Hidayah Miri (BAKA). Pihak kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan ini.

Semoga dengan sumbangan mulia ini dapat meningkatkan semangat para guru dan anak-anak dapat belajar dengan lebih selesa dan berkesan.
                        
Hanya Allah yang mampu membalas pihak yang budiman ini. Kami mendoakan agar dengan keikhlasan pihak penderma, mereka mendapat keberkatan rezeki dan umur, diampun segala dosa, terhindar daripada segala perkara yang memudaratkan dan diterima amalan beliau di dunia dan akhirat, amiin.


“Bandingan (derma) orang-orang yang menginfaqkan hartanya pada jalan Allah (yakni pada jalan kebaikan) adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji (maka daripada satu biji benih akan mendapat tujuh ratus bijirin) dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya (tiada yang kurang dalam khazanah-Nya), lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya (yakni Dia sangat mengetahui keadaan niat orang-orang yang telah menginfaqkan harta mereka).” (Surah al-Baqarah, 2: 261)[1]
  
“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh”




Hazrat Muhammad Maulana Zakariyya al-Kandahlawi, (2014). Fadhilat Sedekah, p. 12. Maktabah Ilmiah Sdn. Bhd.: Kuala Lumpur

Peringatan Pendaftaran Tahun 1 (1 MAC 2019)


Dimaklumkan bahawa pendaftaran anak untuk persekolahan Tahun 1 untuk sesi persekolahan tahun 2020 akan dibuka bermula 1 Mac 2019.

Pendaftaran ini adalah untuk anak-anak yang lahir pada:
 
Tahun Lahir
Umur (2019)
Sesi Persekolahan
2013
6 tahun
2020
2014
5 tahun
2019

Ibu bapa boleh mengisi borang pendaftaran di atas talian (online) menerusi laman web yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Walaubagaimanapun, laman tersebut hanya akan dapat dicapai pada 1 Mac 2019 kelak di pautan (link) Sistem Pendaftaran Atas Talian Kementerian Pendidikan Malaysia (SPATKPM).

Aplikasi ini akan dapat dicapai pada 1 Mac 2019 

 Pendaftaran

Pihak persatuan ibu bapa guru TASKI-ABIM iaitu Badan Keluarga ABIM (BAKA) telah mendapatkan maklumat berkenaan pendaftaran ini melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bahagian Miri.


Pihak PPD Bahagian Miri menyarankan boleh juga terus langsung mendaftar anak ke sekolah yang diingini dengan membawa 

1. Sijil Kelahiran asal anak

2. Lampiran borang SPATKPM yang telah diisi dan dicetak

Guru Besar TASKI-ABIM, Puan Hjh. Hasnah mengingatkan agar membawa bersama bil air dan elektrik bagi tujuan rujukan alamat rumah pemohon.

Saranan Bagi yang ingin Masuk SK Agama (MIS) Miri


Bagi ibu bapa yang ingin menyekolahkan anak di SK Agama (MIS) Miri, menurut daripada taklimat 2018 yang lepas, Guru Besar iaitu Cikgu Zaidi bin Abdul Hamid menasihatkan agar ibu bapa mendaftarkan anak di sekolah biasa terlebih dahulu. Seandainya anak tidak mencapai kelayakan untuk memasuki SK Agama (MIS) Miri, beliau boleh disekolahkan di sekolah yang didaftarkan awal.

Cadangan BAKA

PIhak BAKA ingin menyarankan agar ibu bapa mengambil berat dalam mendaftar awal anak di sekolah yang dihajati. Dikhuatiri jika lambat, kemasukan murid Tahun 1 di sekolah tersebut sudahpun penuh dan terpaksa mencari kekosongan di sekolah yang lain. Kami bimbang hal ini menambahkan kesulitan di pihak anda.


Sila merujuk langsung kepada sekolah yang dihajati bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Mungkin ada perkara atau keperluan yang berbeza daripada satu sekolah dengan sekolah yang lain. 

Semoga maklumat ini bermanfaat. insyaAllah kami akan membantu menyediakan maklumat ini dari semasa ke semasa.

“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh”
   


Saturday, February 23, 2019

Pertandingan Mewarna Sempena Mesyuarat Agung BAKA 2018/19


Alhamdulillah seiring dengan Mesyuarat Agung Tahunan ke-28 Badan Keluarga TASKI-ABIM al Hidayah Miri (BAKA) sesi 2018/19, pihak BAKA telah menganjurkan pertandingan mewarna kepada adik-adik TASKI-ABIM. Seramai 35 murid TASKI-ABIM telah turut serta dalam pertandingan ini. Para ibu bapa mereka pula terlibat dalam sidang mesyuarat agung. 

Adik-adik peserta Tahap 1 (4 tahun)
                            
Adik-adik peserta Tahap 2 (5 tahun)

Adik-adik Peserta Tahap 3 (6 tahun)


Tahniah buat adik-adik yang telah dipilih sebagai pemenang. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh mantan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Miri, iaitu Tn. Hj. Omar bin Rosli
Tahniah... pemenang-pemenang pertandingan mewarna
Sesungguhnya kehadiran adik-adik dalam telah menambah ceria program ini. Kalian ibarat kain putih yang ibu bapa berperanan mencorakkannya. Moga kalian terdidik menjadi seorang individu Muslim yang taat kepada Allah, Rasulullah dan ibu bapa kalian.

“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh”



Mesyuarat Agung Tahunan BAKA 2018/19



Alhamdulillah bersyukur kepada Allah S.W.T, Mesyuarat Agung Tahunan Badan Keluarga TASKI-ABIM (BAKA) Sesi 2018/19 telah diadakan pada Sabtu, 16 Febuari 2019 di TASKI-ABIM al Hidayah Miri. Turut hadir adalah Tn. Hj. Omar bin Hj. Rosli iaitu wakil daripada Yayasan al-Hidayah. Beliau merupakan mantan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Miri. Kehadiran di kalangan ibu bapa amat menggalakkan. Kali ini memperlihatkan peningkatan daripada tahun yang lepas.


Pengerusi BAKA sesi 2018/19, iaitu En. Ismail Pannyau mengucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan sepanjang pimpinan beliau. Walaupun terdapat usul yang tidak dapat dilaksanakan, namun sedikit sebanyak terdapat sejumlah perubahan yang dibuat. Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada ahli jawatankuasa kerana memberikan sepenuh komitmen selama ini. Diharapkan barisan jawatankuasa baru dapat meneruskan usaha ini pada masa-masa akan datang.  

Mesyuarat Agung BAKA 2018/19 telah bersepakat memilih pimpinan yang baru untuk mengetuai BAKA sesi 2019/20. Pengerusi sesi baharu BAKA 2019/20 adalah En. Azrul bin Jaini. Dalam ucapan penggulungan beliau, beliau berharap ibu bapa dapat memberikan sokongan penuh kepada pimpinan BAKA yang baru. 

Dengan usulan yang diterima dalam Mesyuarat Aung ini, diharapkan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Pengerusi juga menyarankan agar ibu bapa dapat menyuarakan pandangan membina atau aduan melalui BAKA jika terdapat sebarang masalah yang melibatkan anak-anak di TASKI.    

Mesyuarat agung kali ini berbeza daripada yang lepas. Buat julung kalinya serentak dengan mesyuarat tersebut, anak-anak menyertai pertandingan mewarna melibatkan Tahap 1, 2 dan 3. Hadiah buat adik-adik pemenang disampaikan oleh Tn. Hj. Omar. Bagi menambahkan kemeriahan majlis, ibu bapa juga tidak terlepas mendapat hadiah. Mereka yang bertuah membawa pulang hadiah cabutan bertuah. 

Pihak BAKA mengucapkan terima kasih atas penglibatan individu dalam melaksanakan program ini. Semoga dengan berkat muafakat sokongan padu ibu bapa dapat membawa manfaat kepada semua khususnya untuk anak-anak kita, insya-Allah.

"Ke Arah Pendidikan Anak Soleh"