Wednesday, July 17, 2019

Gotong-Royong BAKA 2019

Alhamdulillah puji dan syukur kepada Allah, Gotong-Royong Badan Keluarga ABIM (BAKA) 2019 telah diadakan dengan jayanya pada 13 Julai 2019, Sabtu yang lepas. Seramai lebih 60 orang ibu bapa TASKI dan Tahfiz-ABIM al Hidayah Miri beserta  juga para siswa Kolej Vokasional Miri yang turut datang membantu.

Program telah bermula seawal 7.30 pagi dengan taklimat daripada Pengurus TASKI/Tahfiz ABIM, Tn. Hj. Jinal bin Sahari dan juga Pengerusi BAKA, En. Azrul bin Jaini. Sebelum gotong-royong bermula, seluruh warga kerja menjalankan aktiviti memanaskan badan yang diketuai oleh siswa Kolej Vokasional.

Taklimat daripada Pengurus, Hj. Jinal

Aktiviti memanaskan badan. Steady lah kitak!
Gotong-royong selesai dalam 12.30 tengahari. Antara suasana pada hari tersebut:
Membersihkan parit
Menampal lantai
Menampal pancuran
                                     
Menggemburkan pasu bunga
Mengecat batu
Menghias papan notis
                                               Membersih dan menservis tandas                                      
Aktiviti gotong-royong kali ini amat bertuah kerana dihadiri oleh siswa kursus kimpalan Kolej Vokasional (KV) yang melaksanakan tugasan khidmat masyarakat yang merupakan perkara wajib yang mesti ditunaikan sebagai syarat graduasi. Tugas utama mereka adalah mengecat dan menceriakan tembok TASKI/Tahfiz-ABIM di samping tugasan lain.

Siswa KV membersihkan tembok
Dinding yang diceriakan siswa KV
Pihak BAKA ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada En. Sony ak Manggie selaku guru pengiring siswa Kolej Vokasional atas kesudian mengizinkan anak-anak muda ini menabur bakti khidmat sosial di sini. 
Masa berehat...
                                     

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang sudi menghantar lori untuk tujuan pembersihan. Tanpa kalian mungkin tugasan kami menjadi sulit. Tidak dilupakan terima kasih khususnya para ibu bapa yang telah bersama menjayakan program ini.



Semoga dengan rencana yang dijalankan dapat membina suasana yang selesa untuk anak-anak kita membesar. Bukan sahaja mereka diisi dengan pembinaan jatidiri, ilmu dan amalan. Bahkan tumbesaran jasmani mereka juga turut seiring bersama berkat kerjasama kita menyediakan terbaik untuk mereka. Terima kasih atas segalanya. Moga Allah terima amalan kita. Wassalam.

Ke Arah Pendidikan Anak Soleh

Membentuk Generasi al-Quran

Wednesday, July 10, 2019

Kitak Nang Best!


Belum lagi ibu bapa dan guru bergotong-royong pada hujung minggu ini, anak-anak Tahap 3 (6 tahun) TASKI ABIM al Hidayah Miri dah memulakan langkah mereka. Adik-adik memang bersemangat. Kitak semua nang best!


Aktiviti sebegini moga dapat membentuk jiwa anak-anak agar cintakan persekitaran yang bersih. Nabi Muhammad s.a.w merupakan seorang yang kemas dan bersih dan sentiasa menjaga kebersihan dirinya. Baginda s.a.w juga mengambil berat akan kebersihan halaman rumah dan masjid. Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani[1] menyebutkan dalam kitab beliau Insan Kamil [2]: 
Kebersihan terhadap rumah tangga, sangat diperhatikan dan dianjurkan oleh Nabi s.a.w kepada umatnya, agar setiap rumah tangga setiap Muslim tetap bersih. Baginda s.a.w bersabda:
 ‘Bersihkanlah halaman rumahmu.’ Demikian pula perhatian baginda akan kebersihan masjid, dan kegembiraannya kepada sesiapa sahaja yang dengan sukarela melakukan tugas itu.

Berbekalkan dengan semangat ini, Badan Keluarga ABIM (BAKA) iaitu badan PIBG (persatuan ibu bapa dan guru) TASKI/Tahfiz-ABIM al Hidayah Miri mengajak ibu bapa dan ahli masyarakat untuk bersama bergotong royong pada 13 Julai 2019 (Sabtu) yang akan datang.

Moga dengan persekitaran yang bersih dan indah, akan membantu perkembangan rohani, akal dan jasmani anak-anak kita dengan lebih sempurna, amiin.

“Kebersihan adalah sebahagian daripada iman.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)  


"Ke Arah Pendidikan Anak Soleh"

"Membentuk Generasi al-Quran"


_____________

[1] Beliau adalah seorang ulama tersohor dan disegani pada abad ke-20 iaitu al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani. Lahir di kota Mekah pada 1365H / 1946 dan wafat pada hari Jumaat tanggal 15 Ramadhan 1425H. Beliau merupakan antara generasi ulama terakhir yang mengajar di Masjidil Haram, kota Mekah dan mengarang banyak kitab.

[2] Prof. Dr. Sayyid bin Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani, Hasan Baharun (pent.), (2002. Insan kamil (Muhammad s.a.w). Victory Agencie: Kuala Lumpur